IQTrg

Majlis Istiadat Konvokesyen IQ Terengganu Kali Ke-9 2015

DSC 1071

Balai Kenanga, Club House, Terengganu Equestrian Resort (TER) sekali lagi menyaksikan lakaran sejarah Majlis Istiadat Konvokesyen IQT Kali ke-9/2015 yang berlangsung pada 15 Jun 2015. Antara jemputan yang turut hadir melengkapkan majlis ialah YB Ghazali bin Taib (mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif bin Abdul Rahman), mantan pengarah Institut al-Quran Terengganu, Tuan Haji Abd. Aziz @ Ahmad bin Mohd, dan mantan pendaftar IQT iaitu Tuan Haji Lothman bin Awang. Memetik ucapan YB Ghazali bin Taib, beliau berkata umat Islam di negeri ini seharusnya berbangga dan berasa beruntung kerana usaha-usaha berterusan memartabatkan Islam di negeri ini tidak pernah luntur bahkan semakin rancak. Hari ini kita dapat melihat pembangunan dan kemajuan begitu menyerlah di negeri Terengganu. Di samping itu, kerajaan negeri Terengganu melalui gagasan Transformasi Terengganu Baharu juga dengan penuh rasa tanggungjawab mewujudkan garis undang-undang Islam yang lebih mendalam di negeri ini bagi menjamin penghayatan nilai-nilai Islam yang sebenar dalam kalangan rakyat. Beliau juga menyatakan bahawa penubuhan Institut al-Quran Terengganu adalah satu usaha terbaik kerajaan untuk menyediakan modal insan yang berteraskan al-Quran. Mengakhiri ucapan, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada para graduan, ibu bapa dan seluruh warga kerja IQT yang menjayakan majlis tersebut. 

Turut berucap dalam Majlis Istiadat Konvokesyen IQT Kali ke-9/2015 ini juga adalah penerima anugerah Tokoh Pembangunan dan Pendidikan Agama, Tuan Haji Abd. Aziz @ Ahmad bin Mohd. Beliau merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak IQT di atas penganugerahan Tokoh Pembangunan dan Pendidikan Agama kepada beliau. Acara pengurniaan sijil kepada 33 orang pelajar Persijilan Tahfiz, 22 orang pelajar Diploma Tahfiz Wa Qiraat, dan 403 orang peserta program Kulliyyah al-Furqan itu disempurnakan oleh YB Ghazali bin Taib. Selain itu, terdapat juga tiga anugerah lain yang disampaikan iaitu Anugerah Imam Nafi’ kepada Nur ‘Ain Zahirah binti Zulkifli, Anugerah Imam ‘Asim al-Kufi kepada Muhammad Nur Syazwan bin Rosli, dan Anugerah Khas Pengarah kepada Hanis Sakinah binti Ideris.

Gambar Majlis Istiadat Konvokesyen