IQTrg

Kursus Tarannum Al-Furqan Siri-1 2014

IMG 9102

INSTITUT AL-QURAN TERENGGANU menerusi Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan telah menganjurkan Kursus Tarannum al-Furqan Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) SMK/SMKA/SABK Siri 1 tahun 2014. Kursus yang bermula 7 hingga 10 September ini bertujuan mengembangkan ilmu berkaitan pembacaan al-Quran, termasuklah tarannum dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Pada masa yang sama, kursus ini juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai qari dan qariah remaja sebagai pelapis kepada qari dan qariah yang sedia ada di negeri Terengganu Darul Iman. Peserta kursus yang terdiri daripada 10 orang ini ternyata bertuah kerana mendapat tunjuk ajar dari seorang tokoh tarannum yang begitu banyak meraih kejayaan dalam tilawahal-Quran peringkat negeri Terengganu, kebangsaan dan juga antrabangsa iaitu Tuan Haji Daud bin Che Man yang juga merupakan seorang tenaga pengajar di IQ Terengganu. Di samping itu, seorang tenaga pengajar berasal dari Mesir yang juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di IQ turut mencurahkan ilmu kepada peserta kursus iaitu Syeikh Mohammad Fathi bin Abdul Gelil. Di akhir kursus ini, satu majlis penutup telah diadakan pada hari Rabu 10 September 2014 bertempat di bilik Seminar IQ Terengganu. Penutupan kursus ini telah disempurnakan oleh En.Ahmad Mahzor bin Abdul Kadir selaku Penolong Pengarah Penyelidikan & Penerbitan merangkap Pengarah Program. Turut sama memberi ucapan ialah Yang Berbahagia Tuan Haji Abdul Razak bin Jusoh, Penyelia Kanan Sektor Pendidikan Islam yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu. Majlis ini juga turut dihadiri oleh gugu-guru pengiring daripada sekolah-sekolah yang terlibat iaitu SMKA Dato’ Haji Abbas Tok Jiring, SMKA Sheikh Abdul Malik dan SM Imtiaz Serada Kuala Terengganu.

 

Sekitar Gambar Kursus Tarannum al-Furqan siri 1