IQTrg

Berbuka Puasa Bersama DYTM

DSC 0955

 

Institut al-Quran Terengganu (IQT) mencatat sejarah yang amat berharga pada 25 Julai 2014 apabila Duli Yang Di Pertua Muda, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berangkat ke IQT sempena majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan duit raya sempena Aidilfitri 1435H kepada semua pelajar IQT. Majlis penuh barakah ini turut menyaksikan keberangkatan 3 orang adinda Duli Yang Di Pertua Muda iaitu Yang Amat Mulia Tengku Nadhirah Zahrah binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Mua'az Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, dan Yang Amat Mulia Tengku Fatimatuz Zahra' binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Ketibaan kaum kerabat, VVIP dan VIP ke IQT disambut dengan penuh takzim dan rasa rendah hati. Majlis yang bermula pada jam 6.30 petang ini dimulai dengan penyampaian sumbangan duit raya sebanyak RM200 setiap seorang kepada semua pelajar IQT. Penyampaian tersebut telah disempurnakan sendiri oleh Duli Yang Di Pertua Muda, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Sultan Mizan Zainal Abidin bersama 3 lagi adindanya. Seluruh kakitangan, pensyarah, dan para pelajar IQT turut merasa bangga dan terharu kerana berkesempatan untuk bertahlil di bawah bumbung yang sama, Masjid As-Syatibi, IQT bersama-sama dengan Duli Yang Di Pertua Muda dan adinda-adindanya. Usai sahaja penyampaian sumbangan duit raya dan tahlil, seluruh isi masjid bebuka puasa dengan kurma yang dihidangkan, seterusnya berjemaah menyempurnakan solat Maghrib yang diimamkan oleh Mufti Negeri Terengganu iaitu Sahibus Samahah, Dr. Haji Zulkifly bin Muda. Dewan Ibnu Mas'ud, Institut al-Quran Terengganu yang dihias indah penuh bercahaya dalam sejarah menerima keberangkatan mencemar duli anakanda-anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang berbuka puasa bersama-sama warga IQT selepas selesai solat Maghrib berjemaah di Masjid As-Syatibi. Keberangkatan Duli Yang Di Pertua Muda, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Sultan Mizan Zainal Abidin ini turut diiringi oleh kaum-kaum kerabat,  Menteri Besar Terengganu, Dato' Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman dan juga pembesar-pembesar negeri Terengganu Darul Iman. Setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan terima kasih dari kami warga IQT di atas keberangkatan ini. Menjunjung kasih, daulat tuanku.

 

Galeri Gambar Majlis Berbuka Puasa Bersama DYTM